19 January 2015

Cuaca Sejuk Mula Landa Kuala Krai

-- --


Sebelum ini, pernah disiarkan satu artikel yang bertajuk Malaysia akan dilanda musim sejuk luar biasa yang memetik laporan dari Pakar Geografi dan Kajian Iklim Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shaharuddin Ahmad. Menurut dari laporan tersebut, Malaysia berkemungkinan mengalami cuaca sejuk luar biasa sehingga suhu yang mencecah 17.2 darjah Celcius.

Pantai Timur Akan Dilanda Musim Sejuk Luar Biasa

Selepas mengalami kerosakan besar akibat banjir bulan lalu, Kuala Krai kini dilaporkan mengalami suhu sejuk seperti yang pernah dialami awal tahun lalu.

Para penduduk mendakwa suhu turun pada waktu malam sehingga pagi mencecah 18 darjah celsius dan suasana waktu pagi juga dilaporkan berkabus tebal.

Gambar-gambar yang dikongsi di laman FB ”I Love Kuala Krai” serta perkongsian daripada penduduk tempatan menguatkan lagi cerita cuaca sejuk di jajahan ini.

Seorang penduduk, Ahmad Basir pada kira-kira pukul 1 tengah hari menyatakan, suhu mencecah 19 darjah celsius.

Bagaimanapun suhu dikatakan panas dan terik menjelang tengah hari. Malah ada yang mendakwa kabus sejuk yang melanda adalah jerebu.

Raymond Low memberitahu, cuaca memang sejuk tetapi panas menjelang tengah hari.

Kalel Hassan MatAmin pula menyatakan, cuaca sejuk berkenaan bermula pada waktu malam dan berlarutan sehingga awal pagi.

Katanya, menjelang tengah hari cuaca mula panas terik akibat awan yang semakin berkurangan.

“Mungkin tanda nak masuk musim kemarau dah ni,” katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dalam entri Facebook menzahirkan kebimbangan mengenai perubahan cuaca di kawasan tersebut.

“Bayangkan rumah mereka ranap, berlindung sementara di khemah dan bangsal. Paginya yang sejuk. Moga mereka tabah dan kita terus prihatin,” ujarnya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada cuaca sejuk itu berlarutan untuk tempoh masa tertentu seperti kejadian tahun lalu yang berlanjutan sebulan.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memberitahu, fenomena cuaca sejuk yang pernah berlaku pada tahun lepas boleh berulang.

Menurut jabatan itu, udara sejuk dari pergunungan Himalaya dan Siberia ketika musim sejuk di Hemisfera Utara merupakan penyebab utama kejadian suhu sejuk ekstrem berlaku di utara dan pantai timur semenanjung pada Januari tahun lepas.




No comments:

Post a Comment