Kelmarin kecoh juga media sosial dengan tersebarnya beberapa gambar sebuah kilang membuat bihun di Jalan Ipoh yang kotor dan menjijikkan. Lebih menyedihkan apabila pengusaha kilang bihun berkenaan menggunakan lambang masjid dan logo halal tidak diiktiraf pada pembungkusan bihun tersebut bagi mengaburi mata pengguna beragama Islam.
Selepas gambar memproses bihun yang menjijikkan pantas tersebar di laman sosial hingga menjadi ‘viral’ di Internet, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera melakukan pemeriksaan sebelum mengarahkan kilang itu ditutup serta-merta. Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 petang itu, kilang berkenaan yang dikatakan sudah menjalankan operasi sejak tahun 60-an lagi, didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (DBKL) Dr Hayati Abdullah berkata, tindakan menutup premis itu dibuat bagi memastikan tiada lagi produk bihun dikeluarkan dari kilang berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pembiakan jentik-jentik di sekitar kawasan kilang ini selain keadaannya yang begitu kotor.
Beliau juga berkata, turut serta dalam pemeriksaan semalam, beberapa pegawai Teknologi Makanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) yang turut mengambil sampel bihun ini untuk diuji di makmal. Dr Hayati berkata, ketika disoal siasat pengusaha kilang terbabit mendakwa tidak berhasrat meneruskan perniagaannya kerana tidak mampu melakukan kerja pembaikan premis yang sudah usang.
“Notis arahan penutupan diletakkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 iaitu penutupan selama 14 hari dan premis perlu dibersihkan sehingga pihak DBKL berpuas hati,” katanya.


No comments:
Post a Comment