20 January 2015

Langkah Jimat, PLKN 2015 Ditangguh

-- --


PUTRAJAYA, 20 Januari:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengubahsuaian dan intervensi terhadap Bajet 2015 bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah.

Perutusan khas itu disampaikan oleh Najib di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bagi mengumumkan perkembangan semasa dan kedudukan kewangan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kejatuhan harga minyak sebanyak 60 peratus membawa implikasi kepada ekonomi dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.

Ikuti perkembangan pengumuman khas di The Rakyat Post:
10:42 pagi

Saya dapat rumuskan 6 perkara sebagai ‘key take-away points’ daripada perutusan khas sebentar tadi:

Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998 bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.

Kedua, strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian berikutan faktor luaran di luar kawalan

Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.

Keempat, pasaran kewangan tetap teratur & kukuh. Malah, mata wang Ringgit walaupun mengalami penyesuaian ketika ini akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.

Kelima, Perbelanjaan Pembangunan yang diperuntukkan sebanyak RM48.5 bilion tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan. Ini termasuklah projek-projek bersifat people economy yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan infrastruktur pengangkutan.

Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura akan tetap diteruskan. Pada bulan Mei nanti, saya akan bentang RMK11 bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020.

Keenam, Perbelanjaan Mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.
10:35 pagi

Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan akan:

(1) Optimumkan perbelanjaan ke atas bekalan, perkhidmatan, penganjuran majlis, perkhidmatan profesional yang boleh menjimatkan RM1.6 bilion;

(2) Tangguh Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015 dengan penjimatan RM400 juta, bagi membolehkan program dikaji semula & ditambah baik;

(3) Mengkaji semula pemberian & geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan konsisten & rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka beri penjimatan sebanyak RM3.2 bilion;

(4) Menjadual semula pembelian aset tidak kritikal seperti peralatan pejabat, perisian & kenderaan yang mampu memberi penjimatan RM300 juta.
10:33 pagi

Dalam meneruskan ‘fiscal reform & consolidation’, antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil Kerajaan adalah;

(1) Meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan kastam bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak RM1 bilion. Sehingga pertengahan Januari 2015 lebih 304,000 syarikat telah daftar;

(2) Meningkatkan kutipan dividen daripada GLC & GLIC serta badan-badan kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak RM400 juta;
10:32 pagi

Seterusnya dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:

(1) Tubuh Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan dengan pembiayaan maksimum RM5 juta dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;

(2) Menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;

(3) Mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015 dan  penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;

(4) Memperuntuk 30% perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan & GLC untuk perolehan bekalan & perkhidmatan, kepada PKS tempatan  bertaraf pembuat;

(5) Mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.
10:30 pagi

Kesan kejatuhan harga minyak dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan barangan pembuatan, yang terdiri daripada 76% jumlah eksport.

Eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5% daripada jumlah eksport

Kerajaan yakin imbangan akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini pada anggaran 5.1% daripada Pendapatan Negara Kasar.

Antara strategi-strategi bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan kukuh & mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5% – 5.5% tahun ini:

(a) Memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan;
(b) Meneruskan ‘fiscal reform and consolidation'; serta.
(c) Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
10:28 pagi

Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara pengeksport minyak.

Maka wujud tanggapan bila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan eksport keseluruhan akan merosot dan mengakibatkan defisit akaun semasa. Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar.

Bagi minyak mentah, kita adalah pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport sebanyak RM7.7 bilion untuk tempoh Januari-November 2014.

Manakala bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM8.9 bilion untuk tempoh yang sama.

Justeru dengan gabungan kedua-dua ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM1.2 bilion.

Oleh itu tanggapan/persepsi umum selama ini bahawa Malaysia adalah pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah tidak tepat.

Jika dicampur eksport serta import minyak mentah dan ditolak produk petroleum, Malaysia sebenarnya ialah negara pengimport bersih petroleum.

Namun perkiraan ini tidak termasuk Gas Cecair Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport bersih.

Situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita selama ini mempelbagaikan ekonomi negara sehingga dapat menampung kejatuhan harga minyak.
10:25 pagi

Apa yang penting, ‘the function of the capital market is still continuing in orderly manner, despite the Ringgit depreciation’.

Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar.

Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import & eksport.
10.24 pagi

Kerajaan juga tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara.

Turun-naik nilai matawang asasnya berdasarkan pengaruh ekonomi global dan Ringgit bukanlah satu-satunya yang menyusut berbanding dolar Amerika.

Hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.
10:23 pagi

Mengambil kira unjuran yang disemak, Kerajaan menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2% pada tahun 2015.
10:22 pagi

Najib berkata harga bahan api, menurut pakar ekonomi dijangka menjadi antara USD40 hingga USD70 setong untuk tahun 2015 yang menyebabkan kerajaan menilai semula harga purata unjuran bahan api kepada USD55 setong pada tahun ini.
10:19 pagi

Data skala Brent bertarikh terkini menunjukkan penurunan kepada USD48 setong (sehingga semalam).
10.15 pagi

Perdana Menteri menegaskan isu harga minyak bukan di bawah kawalan kerajaan dan berlaku lambakan minyak serta pengurangan permintaan.

Menurutnya, harga bahan api telah jatuh sebanyak 56% dalam masa 6 bulan lalu akibat lebihan bekalan dan permintaan yang lebih rendah.

Ini telah menjadi lebih buruk kerana bekalan dari negara yang tidak terlibat dengan OPEC (Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum).
10.10 pagi

Najib memulakan pengumuman mengenai perkembangan pembangunan dan keadaan kewangan negara semasa dengan memberi penekanan terhadap harga bahan api dan mata wang.

PM menegaskan bahawa negara kini tidak berada dalam krisis dan berkata, “Sesungguhnya kami sedang mengambil langkah-langkah pencegahan berikutan perubahan dalam landskap ekonomi global.

No comments:

Post a Comment