4 November 2014

Cerita Sebenar Berita Pergaduhan Kaum Di Klang 2 November

-- --



Baru-baru ini, satu berita tentang satu pergaduhan kaum yang berlaku di Flat Sri Perantau tersebar melalui media sosial. Sebaran berita itu disertai dengan beberapa gambar yang mana menampilkan motor terbakar dan juga gambar beberapa lelaki memegang pistol.

Tetapi, setelah siasatan dilakukan, berita tersebut ternyata palsu. Isu yang sebenar cumalah sebuah motosikal yang terbakar di flat berkenaan, bukanlah isu pegang-pegang pistol seperti yang diwar-warkan.

Laporan dari Harian Metro tentang kejadian motor terbakar.

Pemilik pengsan motosikal berkuasa tinggi terbakar 


Pelabuhan Klang: Seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri apabila mengetahui motosikal yang baru dibelinya enam bulan lalu dibakar dalam kejadian di Flat Sri Perantau, pagi semalam.

Menurut Muhammad Ikhmal Jamaluddin, 18, anak kepada pemilik motosikal berkenaan yang dikenali sebagai Jamaluddin Muhammad, 44, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, jiran mereka memaklumkan bahawa kenderaan milik bapanya itu terbakar.

“Ayah kemudian meluru keluar untuk melihat motosikal jenis Benelli RKV 200 miliknya sebelum terperanjat dan tidak sedarkan diri apabila mendapati motosikal berkenaan hangus sama sekali.

“Orang ramai terpaksa membawa ayah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Difahamkan, tiga motosikal terbakar akibat perbuatan khianat serta turut mengakibatkan dua letupan berlaku yang menyebabkan penduduk di sekitar flat berkenaan cemas seketika.

Menurut saksi kejadian, Mohd Shawal Sabtu, 33, individu yang bertanggungjawab membakar kenderaan berkenaan bukan penghuni dari flat berkenaan dan datang ke kawasan itu sebelum mula membuat kecoh.

“Saya dapati lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan sudah menasihatkannya dengan cara baik supaya beredar dari flat ini kerana bimbang dia melakukan sesuatu di luar jangkaan.

“Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit beredar, lelaki terbabit yang berusia 30-an datang kembali,” katanya.

Katanya, dia yang dimaklumkan mengenai kehadiran semula lelaki itu kemudian membuat tinjauan dan terkejut apabila mendapati lelaki berkenaan sedang membakar sebuah motosikal.

Tentang gambar lelaki yang memegang pistol pula, ia hanya gambar dari beberapa babak dari sebuah filem tamil yang membuat membuat penggambar di kawasan yang sama pada pagi sebelum kejadian.

Diharap orang ramai tidak menyebarkan berita palsu ini.




No comments:

Post a Comment