20 August 2014

Pasaraya Besar Tipu Pengguna, Harga Pamer Lain, Harga Di Resit Lain !!!

-- --


SUNGAI PETANI - Seorang pengguna tidak berpuas hati dengan tindakan pihak pengurusan sebuah pasar raya yang didakwa mengelirukan pengguna bertujuan mengaut keuntungan secara senyap.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Rani, 38, mendakwa sebuah pasar raya di sini telah mempamerkan harga promosi bagi produk tertentu, bagaimanapun ketika pembayaran dibuat, pengguna dikenakan harga lebih tinggi.

Dakwanya, tindakan itu hanya disedari selepas pembayaran dilakukan setelah dia menyemak resit yang diberikan petugas kaunter.

“Tindakan ini sudah pasti mengelirukan dan boleh dikategorikan sebagai penipuan dalam perniagaan,” dakwanya.

Dia mendakwa, harga telur ayam Gred B dipamerkan dengan RM3.39 tetapi selepas diimbas, pengguna harus membayar dengan harga RM4.39.

Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Razif, 27, mendakwa, dia pernah beberapa kali mendengar kes penipuan yang dilakukan pasar raya dekat sini.

“Pada mulanya saya dengar ramai kawan yang mengadu tentang harga yang dipamerkan di rak tidak sama dengan harga yang dicaj kepada pengguna.

“Selepas membeli sebungkus daging lembu jenama terkenal di pasar raya berkenaan, saya periksa semula dengan harga di rak.

“Alangkah terkejut kerana saya turut menjadi mangsa ‘penipuan’  ini.

"Harga yang dipamerkan di rak ialah RM4.99 tetapi apabila diimbas, harganya ialah RM5.49,” dakwanya.

Dakwanya, dia menemui pihak pengurusan pasar raya berkenaan, tetapi tidak menerima respons positif.

“Keadaan ini berlaku tanpa disedari dan secara tidak langsung memberi imej tidak sihat dalam persaingan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian ke lokasi yang dimaksudkan belum menemui sebarang perbezaan harga berhubung produk yang dikemukakan pengguna.

Tinjauan mendapati, harga yang dipamerkan di rak adalah sama dengan harga imbasan produk terbabit.

No comments:

Post a Comment